Friday, February 26, 2010

Benarkah sayang?

Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuli lembaran sirahmu
Pahit getir pengorbananmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umatmu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlakmu
Tidak terbalas segala jasamu
Sesungguhnya engkau rasul mulia
Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kemenangan
Terukir namamu di dalam Al-Quran

Rasulullah kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajahmu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnahmu

Kami sambung perjuanganmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan rasul sebagai pembela


Pertama kali mendengar lagu itu adalah ketika aku berada di sekolah menengah. Lirik dan lagunya cukup menyentuh hati. Cukup puitis. Terus aku berusaha mencari dan menghafal liriknya selepas mendengarkan lagu itu, dan sering menyanyikannya bila liriknya sudah aku hafal.

MaulidurRasul adalah hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Bagi aku, sambutan MaulidurRasul itu perlu. Perlu kerana kita manusia adalah makhluk yang pelupa. Lupa akan perjuangan baginda kerana telah lama ditinggalkan. Memperingati MaulidurRasul dapat membantu menyemarakkan lagi kasih sayang kita kepada Rasulullah S.A.W. Bila aku kata memperingati, aku bukan maksudkan berarak atau jenis jenis sambutan yang tidak pernah diamalkan oleh sahabat baginda. Maksud aku berselawat dan mengenang kembali sirah baginda dalam menyebarkan Islam.

Hari Rabu 24 Februari 2010 lepas, bekas pensyarah UIA, Ustaz Zawawi Yusof telah dijemput memberikan ceramah MaulidurRasul di pejabat aku. Ceramahnya ada diselitkan video yang menggambarkan gambaran Hijrah Nabi S.A.W dan umat baginda ketika itu. Cukup menyentuh hati. Ketika video itu ditayangkan, aku teringat ketika aku melawat makam baginda sekitar bulan puasa lepas. Terasa ingin lagi ke sana untuk melawat dan memberi salam kepada baginda.

Ketika ceramah itu, Ustaz Zawawi ada bertanya kepada para pendengar, 'Jika Rasulullah S.A.W masih hidup dan anda adalah orang yang bertuah untuk bertemu baginda, apa yang anda akan cakap pada baginda?'. Aku agak terkesima dengan soalan itu. Berfikir sebentar apa jawapan yang sesuai untuk aku berikan. Ada 3 orang hadirin yang ditanya, tapi seorang pun tidak dapat memberi jawapan yang konkrit. Aku juga tidak boleh memberi jawapan yang bernas pada diri sendiri. Yang terlintas dalam pemikiran aku, jika aku bertemu baginda, aku ingin memeluk kekasih Allah itu, tapi, eh! Aku perempuan la! Mana boleh buat camtu! Aduh!! Baru aku teringat yang au tidak boleh memeluk kekasih Allah itu. Tapi yang pasti, aku akan menitiskan air mata jika dapat melihat wajah baginda.

Melihat keadaan hadirin yang seolah olah tak bersedia bila diajukan soalan ustaz tadi, ustaz pun berkata, 'Ini membuktikan yang kita semua tidak pernah ingin bertemu dengan baginda. Sebab kita tak tahu pun apa yang kita nak cakap dengan baginda kalau kita jumpa baginda'. Ustaz menyambung ceramahnya dengan soalan, 'Benarkah tuan-tuan semua sayang pada baginda?'. Hampir separuh para hadirin mengatakan 'Ya!. Sayang!'. Aku adalah antara hadirin yang hanya berdiam diri ketika diajukan soalan itu. Mengapa? Sebab bagi aku, jika aku kata sayang, apa bukti kasih sayang aku? Sirahnya pun aku tak dalami. Sunnahnya pun banyak yang tak aku amalkan. Jika aku kata tidak sayang, itu adalah seperti jawapan yang terlalu ego daripada seorang Muslim. Jadi aku memilih untuk hanya berdiam diri dengan soalan itu. Mungkin hadirin lain yang tidak menjawab apa apa ketika ditanya oleh ustaz samaada sayang Rasulullah atau tidak jugak mempunyai pandangan yang sama dengan aku. Benarkah kita menyayangi baginda? Tepuk dada, tanya iman. Namun aku harapkan kita sebagai umat akhir zaman mendapat keampunan Allah jika tidak dapat menyayangi baginda sepertimana para sahabat menyayangi baginda.

Itulah yang sempat aku coretkan sempena MaulidurRasul ini. Semoga kita mendapat syafaat baginda kelak...InsyaAllah...

No comments:

Post a Comment