Tuesday, January 22, 2013

Mimpi bertemu Rasulullah S.A.W

Anda pernah berniat untuk bermimpi berjumpa dengan Rasulullah?

"Mimpi bertemu Nabi? Tak pernah terfikir pulak...sebab manalah aku layak nak mimpi jumpa Nabi...aku orang biasa je...amalan pun tak banyak..."

Mungkin itulah jawapan yang paling banyak diberi jika ditanya samaada kita pernah berniat untuk bermimpi bertemu dengan baginda S.A.W. Malah, secara jujurnya, itulah jawapan yang mungkin saya sendiri akan berikan jika soalan ini diajukan kepada saya satu ketika dulu.

Jadi tujuan saya menulis ini adalah untuk membetulkan persepsi tentang niat untuk bertemu baginda Rasulullah S.A.W dalam mimpi. Kenapa? Sebab ramai yang menyangka, hanya orang orang yang soleh akan berpeluang bermimpi bertemu dengan baginda, maka kita sebagai orang biasa takkan terpasang niat untuk bermimpi bertemu dengan baginda kerana bagi kita ia mustahil...sangat mustahil...dan kita takkan pernah berusaha untuk mencapai sesuatu yang minda kita kata mustahil. Dalam kata lain, buat apa nak berharap? Takkan dapat punya kalau amalan sikit!

Sebenarnya memasang niat untuk bermimpi bertemu Nabi tu tak salah, malah bagi saya, setiap orang Islam MESTI memasang niat untuk bertemu baginda, walaupun kita hanya orang biasa yang tak banyak pun amalannya, walaupun kita hanya orang biasa yang tidaklah tersimpan 30 juzuk AlQuran dalam hati. Bagaimana kita nak kata kita benar benar sayang baginda jika tidak ada langsung satu ruang di hati kita untuk menemui orang yang sangat kita cintai? Logikkah kita kata kita benar benar mencintai seseorang jika kita tidak pernah terfikir untuk selalu bertemu dengannya walaupun hanya dalam mimpi? 

Sekitar tahun lepas, saya telah menonton satu klip dari youtube, kisah pengalaman Dato Haron Din bermimpi bertemu dengan baginda Nabi S.A.W.


Ketika menonton klip tersebut, berjurai jurai air mata saya menitis memikirkan bertuahnya sesiapa yang dapat bertemu dengan baginda, melihat keindahan wajah baginda, mendengar suara baginda, walaupun hanya dalam mimpi. Ada juga saya terbaca kisah salah seorang bekas pelajar UIA, Syamimi, yang bermimpi bertemu dengan Rasulullah S.A.W. Baginda siap panggil nama "Ya Syamimi" lagi. Subhanallah! Betapa baginda mengenal umatnya! 

Dan ketika itu, saya cuba mula menanam impian untuk turut bertemu baginda dalam mimpi. Mengapa perlu tunggu untuk bertemu baginda di Akhirat? Cubalah bertemu dengan baginda sejak dari dunia lagi. Namun, saya juga sedar dimana tahap amalan saya. Tapi tiba tiba terrdetik dalam hati saya, ada satu cara sebenarnya bagi orang biasa macam kita untuk bertemu baginda dalam mimpi. Iaitu dengan mengharapkan rahmat Allah.

Rahmat Allah. Apa itu rahmat Allah? Rahmat Allah adalah umpama pemberian Allah kepada makhlukNya. Kita sebagai umat Islam, wajib percaya yang rahmat Allah itu Maha Luas. Allah boleh memberikan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya, samaada orang itu baik atau  jahat, Islam atau kafir. Luasnya rahmat Allah itu tiadalah batasannya, dan kita wajib percaya akan Dialah Tuhan yang memberi Rahmat. Jika Allah ingin memberi rahmat kepada makhlukNya, tiada siapa yang boleh menghalang dan mempersoalkannya.

Jadi, apa kaitan mimpi bertemu dengan Nabi tadi dengan rahmat Allah? Perkaitannya adalah, kita minta pada Allah untuk bertemu dengan Nabi atas rahmatNya semata-mata. Sungguhpun kita hanya orang biasa, bukanlah alim ulama apatah lagi wali Allah, kita boleh memohon padaNya untuk menemukan kita dengan kekasihNya atas dasar rahmatNya. Ya, saya akan bold kan perkataan Rahmat Allah sebab itulah yang saya nak tekankan dalam tulisan saya kali ni.

Kita hendaklah yakin kepada rahmat Allah dan sentiasa berusaha menanamkan rasa rindu untuk bertemu baginda. Yakin bermaksud, jangan terlintas dalam pemikiran kita, "Ala, siapalah aku untuk mimpi bertemu Nabi"...ya, memang hakikatnya kita hanya manusia biasa. Tapi, seperti yang diutarakan tadi, kita bukan minta bertemu nabi atas dasar siapa kita, bukan atas dasar amalan kita, tapi kita minta bertemu dengan Nabi atas dasar Rahmat Allah. Jika kita tidak yakin besarnya rahmat Allah, yang mana Allah boleh kurniakan kepada sesiapa sahaja untuk bertemu kekasihNya, maka memang tiadalah peluang untuk kita bertemu baginda Nabi S.A.W. Itu perkara yang paling penting. Yakin pada Rahmat Allah yang Maha Luas.

Minta jugalah kepada Tuhan untuk bertemu dengan Nabi atas dasar kasihNya Rasulullah kepada kita, dan atas dasar kasih kita kepada baginda S.A.W. Rasulullah benar benar sayangkan umatnya melebihi kasih sayang kita kepada dirinya. Begitu besar kasih sayang baginda kepada kita, dan atas dasar itu juga kita pohon pada Allah untuk bertemu baginda. Cuba selami sirah Rasulullah dan fahami betapa kasihnya baginda kepada kita.

Untuk menguatkan lagi doa, sekiranya anda berada di Tanah Suci, contohnya di Kaabah atau Raudhah, mintalah untuk bertemu dengan baginda demi keberkatan Kaabah dan Raudhah. Sangat berkat juga jika doa ini dipanjatkan di makam baginda S.A.W, kerana baginda sememangnya sedang berada dihadapan kita ketika itu. Mintalah Allah bukakan hijab antara kita dengan Nabi S.A.W. Percaya bahawa Allah dan Nabi mendengar permintaan kita itu. Dan percaya bahawa doa itu akan dimakbulkan. Betapa ruginya saya sebab sebelum ini ketika saya ke Tanah Suci, tiada langsung pernah terlintas di fikiran saya untuk mohon bermimpi bertemu dengan baginda. Kerana ketika itu, mentaliti saya dah set yang hanya orang soleh dan para wali yang layak mendapat mimpi bertemu baginda. Dalam kata lain, tak tercapai akal untuk bertemu baginda dalam mimpi. Buang mind set begini! Percaya pada rahmat Allah yang sesiapa pun, malah orang kafir pun, boleh bertemu dengan Rasulullah atas rahmatNya, atau untuk memberi hidayah.





Oleh itu, mulai hari ini, marilah kita sama-sama menanamkan azam untuk bertemu dengan baginda dalam mimpi kita. Biar siapapun kita, meskipun diri kita banyak berdosa, tanamlah azam itu dan usahakanlah, kerana peluang itu masih ada. Kerana Rahmat Allah itu mengatasi kemurkaanNya. Tingkatkanlah juga amalan kita seiring dengan impian kita untuk bertemu Nabi S.A.W.

Alangkah indahnya jika setiap kali kita mendengar nama Nabi S.A.W disebutkan, kita sudah dapat bayangkan wajah baginda yang indah. 

Alangkah indahnya jika dalam mimpi kita bertemu baginda, baginda menyebut dan memanggil nama kita. 

Alangkah indahnya jika kita dapat menatap senyuman baginda. 

Ya, baginda sebenarnya masih hidup, dalam jiwa umat yang benar benar menyayanginya. Marilah kita bertemu dengan baginda bukan sahaja di Akhirat kelak, malah di dunia ini lagi.

Saya tahu, ada pembaca yang akan bertanya, "Jadi anda sendiri sebagai penulis dah mimpi bertemu nabi ke?". Samaada soalan itu ditanya dengan niat yang baik atau untuk mempersendakan. Secara jujurnya, saya memang belum berpeluang menemui baginda dalam mimpi. "Jadi, kenapa share bende yang belum tentu berkesan? Sendiri belum mimpi jumpa nabi dah nak bagi petua macam mana nak mimpi jumpa nabi?"...Ya, biar saya jawab dulu. Tulisan saya bukanlah petua untuk mimpi bertemu nabi. Tulisan saya ni lebih kepada ingin mengajak para pembaca Muslim untuk sama sama memasang niat untuk bertemu baginda S.A.W. Dan apa yang saya tulis adalah langkah langkah yang saya fikir wajar saya ambil dan amalkan untuk mencapai impian saya. Sharing is caring. Seandainya ada yang berjaya menemui baginda S.A.W berdasarkan tulisan saya ni, atau sekurang kurangnya anda mula memasang niat untuk bertemu baginda setelah membaca artikel ini, saya amatlah berbesar hati. Kita sama sama MESTI berusaha (bukan sekadar harus berusaha) untuk bertemu baginda sedaya upaya mungkin.

Akhir kata, seandainya ade kesilapan dalam tulisan ini, mohon diperbetulkan dengan hikmah. Jika hendak komen, mohon komen dengan hikmah juga, sebab tulisan ni bukan menceritakan tentang orang sembarangan, tapi tentang baginda Rasulullah S.A.W. Semoga tulisan saya memberi manfaat kepada kalian semua...

Wallahu A'lam....