Friday, February 26, 2010

Benarkah sayang?

Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuli lembaran sirahmu
Pahit getir pengorbananmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umatmu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlakmu
Tidak terbalas segala jasamu
Sesungguhnya engkau rasul mulia
Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kemenangan
Terukir namamu di dalam Al-Quran

Rasulullah kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajahmu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnahmu

Kami sambung perjuanganmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan rasul sebagai pembela


Pertama kali mendengar lagu itu adalah ketika aku berada di sekolah menengah. Lirik dan lagunya cukup menyentuh hati. Cukup puitis. Terus aku berusaha mencari dan menghafal liriknya selepas mendengarkan lagu itu, dan sering menyanyikannya bila liriknya sudah aku hafal.

MaulidurRasul adalah hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Bagi aku, sambutan MaulidurRasul itu perlu. Perlu kerana kita manusia adalah makhluk yang pelupa. Lupa akan perjuangan baginda kerana telah lama ditinggalkan. Memperingati MaulidurRasul dapat membantu menyemarakkan lagi kasih sayang kita kepada Rasulullah S.A.W. Bila aku kata memperingati, aku bukan maksudkan berarak atau jenis jenis sambutan yang tidak pernah diamalkan oleh sahabat baginda. Maksud aku berselawat dan mengenang kembali sirah baginda dalam menyebarkan Islam.

Hari Rabu 24 Februari 2010 lepas, bekas pensyarah UIA, Ustaz Zawawi Yusof telah dijemput memberikan ceramah MaulidurRasul di pejabat aku. Ceramahnya ada diselitkan video yang menggambarkan gambaran Hijrah Nabi S.A.W dan umat baginda ketika itu. Cukup menyentuh hati. Ketika video itu ditayangkan, aku teringat ketika aku melawat makam baginda sekitar bulan puasa lepas. Terasa ingin lagi ke sana untuk melawat dan memberi salam kepada baginda.

Ketika ceramah itu, Ustaz Zawawi ada bertanya kepada para pendengar, 'Jika Rasulullah S.A.W masih hidup dan anda adalah orang yang bertuah untuk bertemu baginda, apa yang anda akan cakap pada baginda?'. Aku agak terkesima dengan soalan itu. Berfikir sebentar apa jawapan yang sesuai untuk aku berikan. Ada 3 orang hadirin yang ditanya, tapi seorang pun tidak dapat memberi jawapan yang konkrit. Aku juga tidak boleh memberi jawapan yang bernas pada diri sendiri. Yang terlintas dalam pemikiran aku, jika aku bertemu baginda, aku ingin memeluk kekasih Allah itu, tapi, eh! Aku perempuan la! Mana boleh buat camtu! Aduh!! Baru aku teringat yang au tidak boleh memeluk kekasih Allah itu. Tapi yang pasti, aku akan menitiskan air mata jika dapat melihat wajah baginda.

Melihat keadaan hadirin yang seolah olah tak bersedia bila diajukan soalan ustaz tadi, ustaz pun berkata, 'Ini membuktikan yang kita semua tidak pernah ingin bertemu dengan baginda. Sebab kita tak tahu pun apa yang kita nak cakap dengan baginda kalau kita jumpa baginda'. Ustaz menyambung ceramahnya dengan soalan, 'Benarkah tuan-tuan semua sayang pada baginda?'. Hampir separuh para hadirin mengatakan 'Ya!. Sayang!'. Aku adalah antara hadirin yang hanya berdiam diri ketika diajukan soalan itu. Mengapa? Sebab bagi aku, jika aku kata sayang, apa bukti kasih sayang aku? Sirahnya pun aku tak dalami. Sunnahnya pun banyak yang tak aku amalkan. Jika aku kata tidak sayang, itu adalah seperti jawapan yang terlalu ego daripada seorang Muslim. Jadi aku memilih untuk hanya berdiam diri dengan soalan itu. Mungkin hadirin lain yang tidak menjawab apa apa ketika ditanya oleh ustaz samaada sayang Rasulullah atau tidak jugak mempunyai pandangan yang sama dengan aku. Benarkah kita menyayangi baginda? Tepuk dada, tanya iman. Namun aku harapkan kita sebagai umat akhir zaman mendapat keampunan Allah jika tidak dapat menyayangi baginda sepertimana para sahabat menyayangi baginda.

Itulah yang sempat aku coretkan sempena MaulidurRasul ini. Semoga kita mendapat syafaat baginda kelak...InsyaAllah...

Friday, February 19, 2010

Berinteraksi dengan-Nya


Anda sedang mempunyai masalah besar.

Anda kebingungan.

Anda memerlukan tempat untuk mengadu.

Anda memerlukan hidayah.

Jadi, apakah yang perlu dilakukan? Mungkin ada yang akan beri jawapan, buat solat istikharah. Tapi bagaimana jika anda memerlukan masa yang terlalu singkat untuk memilih jalan untuk permasalahan anda? Atau bagi wanita yang sedang uzur, macam mana pulak nak buat solat istikharah? Jawapan diperlukan segera...atau hati anda betul betul berkecamuk...

Mungkin zikir dan doa dapat membantu. Tapi disini aku ingin berkongsi satu petua yang pernah diajar oleh sahabat aku semasa aku di UIA dulu. Dan ia benar benar berkesan. Caranya, ambil Al-Quran, jika anda tidak mahir berbahasa arab atau sedang dalam keadaan uzur, ambillah Al-Quran yang mengandungi terjemahan. Selawat dahulu sebanyak 7 kali, kemudian niatkan kepada tuhan petunjuk apa yang anda perlu dari-Nya dengan sepenuh hati. Setelah diniatkan, terus buka Al-Quran itu dari mana mana mukasurat sekalipun secara rawak, dan terus baca salah satu ayat yang anda nampak ketika itu. InsyaAllah itulah jawapan Allah pada permasalahan anda.

Aku banyak kali mengamalkan petua ini ketika hati aku benar-benar dalam keadaan lemah. Dan selalunya aku akan dapat ayat yang memang aku dapat rasa kaitan antara ayat tersebut dengan masalah yang sedang aku hadapi. Contohnya, aku pernah dapat ayat 4 dari Surah Nuh..



Niscaya Allah akan mengampuni sebagian dosa-dosamu dan menangguhkan kamu sampai kepada waktu yang ditentukan. Sesungguhnya ketetapan Allah apabila telah datang tidak dapat ditangguhkan, kalau kamu mengetahui".

Tak perlulah aku ceritakan peristiwa yang menyebabkan aku perlu membuka Al-Quran untuk mendapatkan petunjuk tu. Cukuplah sekadar aku beritahu yang ayat yang aku dapat tu memang kene dengan situasi aku ketika itu. Sebab ketika itu memang aku bersalah, dan ketika ayat yang aku dapat itu seolah olah mengatakan yang Tuhan telah mengampunkan dosa aku, aku memang menitiskan air mata. Sangat terharu kerana Dia sudi memaafkan aku. Dan aku faham juga apa yang dimaksudkan dengan 'menangguhkan kamu sampai kepada waktu yang ditentukan'. Itulah jawapan Tuhan kepada permasalahan aku ketika itu. Dan aku benar benar berasa seperti berinteraksi denganNya secara terus.

Petua ini juga pernah aku ceritakan kepada sahabat aku yang lain ketika di UIA dulu. Ketika itu dia sedang menghadapi masalah dan sedang uzur. Dan apabila dia dapat satu ayat dari Al-Quran, dia pun kata dia benar-benar rasa dan nampak kaitan ayat yang dia dapat dengan permasalahannya. Dia ceritakan pada aku dengan perasaan yang sungguh puas hati. Walaupun aku sebenarnya tak nampak kaitan ayat yang dia dapat dengan permasalahan dia ketika itu, aku pun turut gembira. Sebab bagi aku, kadang-kadang hanya kita yang menghadapi masalah itu saja yang akan dapat rasa kaitan ayat yang kita dapat dengan permasalahan kita.

Ada banyak lagi ayat-ayat yang aku dapat sebab memang ketika aku dalam keadaan berkecamuk, aku sering mengamalkan petua itu. Ada yang sampai membuatkan aku terduduk sebab tak sangka dapat ayat yang begitu mendalam dan tak disangka-sangka. Subhana Allah! Sememangnya Al-Quran itu satu mukjizat yang begitu hebat!

Jadi selepas ini, jika anda menghadapi masalah, cubalah amalkan petua yang aku beri tadi. Yang penting sebelum buka Al-Quran tu, niatkan dengan sepenuh hati yang anda benar-benar perlu petunjuk dariNya dan yakin bahawa Dia sedang mendengar dan akan membantu. InsyaAllah, anda akan dapat petunjuk tersebut. Dan aku benar benar berharap tulisan aku kali ini akan memberi manfaat bagi kalian semua....